Takrif ilmu Faraidh
Dari sudut bahasa: Faraidh (فرائض) adalah pecahan dari perkataan (فريضة), yang mempunyai makna (مفروضة) iaitu bahagian yang telah ditentukan kadarnya.
Dari sudut Istilah: Ilmu yang bersangkut-paut dengan urusan pembahagian harta peninggalan si mati.
Sejarah pembahagian harta pusaka
Dalam zaman jahiliah, ada tiga sebab seseorang itu boleh mewarisi harta:
- Kerana pertalian kerabat, dan ini hanya dikhaskan untuk lelaki yang sudah dewasa. Wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat harta pusaka.
- Ikatan perjanjian, iaitu dua orang yang sumpah setia dan ikat janji untuk saling tolong menolong semasa mereka hidup. Apabila salah seorang dari mereka mati, maka kawannya akan mewarisi harta peninggalannya.
- Anak angkat: Dengan syarat ia lelaki dewasa, kerana anak angkat akan di bin kan kepada bapa angkatnya dan dianggap sebagai anak keturunannya. Anak angkat perempuan/wanita tidak berhak mewarisi harta bapa angkatnya.
Pada zaman awal-awal Islam, harta orang Muhajirin yang mati akan diwarisi oleh saudaranya yang ikut hijrah. Yang tidak ikut hijrah tidak mewarisi harta tersebut. Jika orang muhajirin itu tiada saudara-mara di Madinah, maka hartanya akan diwarisi oleh orang Ansar yang telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w dengan orang muhajirin yang mati itu. Dalilnya: surah Al-Anfal, ayat 72.
Kemudian hukum ini dibatalkan dan digantikan dengan wasiat kepada ibu bapa dan kerabatnya. Dalilnya: Al-Anfal:75, Al-Ahzab:6, Al-Baqarah:180.
Setelah itu, dibatalkan hukum membuat wasiat untuk waris dan ibu-bapa dan digantikan dengan ayat-ayat waris dalam surah An-Nisaa, ayat 11-12 dan 176.
Ada dua riwayat yang menceritakan tentang turunnya ayat 11-12 dan 176 dari surah An-Nisaa.
Pertama: Diriwayatkan bahawa isteri seorang sahabat yang bernama Saad bin Ribi datang mengadap Nabi s.a.w dengan dua anak perempuannya. Dia beritahu bahawa setelah suaminya mat syahid dalam peperangan Uhud, pakcik budak-budak itu ambil semua harta suaminya. Maka kedua anak perempuan Saad tidak dapat sesuatupun. Nabi s.a.w beritahu kepadanya bahawa Allah akan menghukum perkara itu. Kemudian turunlah ayat-ayat waris.
Kedua: Ayat-ayat waris itu turun dalam kes Abdur Rahman bin Tsabit. Ia meninggal dunia dan tinggalkan seoarang isteri, Ummu Kahhah dan lima orang saudara perempuan. Kemudian datang waris dari pihak laki-laki dan ambil semua hartanya. Maka ummu Kahhah beritahu Nabi s.a.w tentangperkara itu. Kemudian turunlah ayat-ayat waris.